Wednesday, November 30, 2016

Meningkatkan Simpanan Persaraan


KWSP sedia pilihan melalui SPA bantu ahli capai matlamat kewangan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyediakan pilihan  dan flesibiliti untuk ahli memperlbagaikan portfolio persaraan melalui Skim Pelaburan Ahli (SPA) bagi membantu ahli mencapai matlamat kewangan.

Ketua Jabatan Kuantitatif & Analisa Prestasi KWSP, Badrul Hisham Dahalan, berkata ahli yang mencapai tahap keperluan “simpanan asas” boleh memindahkan sebahagian daripada Akaun 1 ke dalam mana-mana Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik dibawah SPA bagi tujuan mengoptimum potensi pulangan pelaburan yang lebih tinggi bagi simpanan persaraan mereka.

Kekerapan pemindahan dibenarkan adalah setiap 3 bulan selepas tarikh pemindahan sebelumnnya.

Simpanan asas adalah satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan minimum ketika mencapai umur 55 tahun.

Amaun simpanan minimum itu adalah ditanda aras berdasarkan kadar pencen minimum yang ditetapkan untuk tempoh 20 tahun bermula daripada umur ahli 55 tahun sehingga 75 tahun.
Berkuatkuasa pada 1 Januari 2017, KWSP akan menaikkan jumlah simpanan asas kepada RM228, 000 (196, 800 sebelumnya) dengan mengambil kira perubahan pencen minimum kakitangan sektor awam yang telah disemak semula daripada RM830 sebulan kepada RM950 sebulan.

Juga berkuatkuasa pada 1 Januari 2017, jumlah dibenarkan untuk dipindahkan setiap 3 bulan akan dinaikan kepada  30% berbanding 20% daripada jumlah simpanan yang melebihi simpanan asas dalam Akaun 1.

Di bawah SPA ahli boleh memilih untuk melabur di dalam pelbagai jenis dana bergantung kepada risiko yang sanggup ditanggung oleh ahli dan jangkaan pulangan menepati kehendak pelaburan ahli, kata Badrul Hisyam.

Sebagai contoh, bagi pelaburan dalam unit amanah, ahli boleh melabur dalam dana dari kategori ekuiti, bon, imbang, pasaran wang atau dana amanah hartanah. Dana itu juga ada yang berkategori konvensional atau pun patuh syariah.

Menurut Badrul Hisyam lagi, KWSP juga pada Mac 2015 melancarkan portal informasi dana yang boleh dicapai melalui i-Akaun. Ahli boleh membuat rujukan dan penyelidikan sendiri mengenai dana dan IPD di bawah SPA sebelum membuat keputusan untuk melabur.

“Di portal ini juga ahli boleh  mendapatkan maklumat berkenaan status dan prestasi dana, membuat kajian perbandingan prestasi antara dana di bawah kategori sama, latar belakang IPD, ahli lembaga pengarah dan jawatan kuasa pelaburan, dividen yang pernah dibayar kepada ahli”, katannya.

Beliau berkata, ahli akan mempunyai lebih banyak maklumat untuk membuat satu keputusan pelaburan yang termaklum.

Dahulukan kepentingan ahli

Badrul Hisham menegaskan bahawa KWSP bersikap berkecuali dan tidak mempromosikan mana-mana dana atau IPD tertentu kepada ahli kerana matlamat dan usaha utama KWSP adalah agar ahli boleh melabur di dalam satu persekitaran yang dikawal sleia secara teratur bagi memastikan kepentingan ahli adalah terlindung.

“KWSP melindungi integriti SPA dan akan memastikan tiada ketirisan di dalam simpanan persaraan ahli. Ini dilakukan melalui rangka kerja pengawasan yang kukuh dan garis panduan yang mengawal selia IPD. Dalam masa yang sama, secara berterusan mempertingkatkan saringan bagi memastikan hanya dana-dana berkualiti sahaja ditawarkan di bawah SPA demi melindungi kepentingan ahli yang melabur melaluinya,” katannya.

KWSP bersama dengan Federation Investment Managers Malaysia (FIMM), menjalankan penilaian tahunan dana di bawah SPA. KWSP juga melantik juruaudit bebas untuk menjalankan pengauditan bagi memeriksa pematuhan IPD terhadap garis panduan ditetapkan dan mereka menjalankan tugas serta dan tanggungjawab dengan teratur bagi kepentingan ahi.

“IPD yang didapati melanggar garis panduan ditetapkan, dikenakan tindakan, antaranya, amaran, denda monetary, digantung atau ditamatkan status sebagai IPD di bawah skim ini,” katannya.

Untuk mengelakkan ketirisan, beliau berkata, setiap agihan pendapatan daripada pelaburan akan dilabur semula dan sekirannya ahli memilih mencairkan pelaburan, ia akan dikembalikan ke dalam Akaun 1 ahli di KWSP. Sekirannya IPD digugurkan statusnya di bawah skim ini, semua pelaburan ahli di IPD itu hendaklah dicairkan dan dikembalikan ke dalam Akaun 1 ahli di KWSP.

Sementara KWSP menyediakan persekitaran pelaburan yang terkawal di bawah skim ini,  Badrul Hisham menggesa ahli meningkatkan pengetahuan kewangan dan pelaburan serta mendapatkan maklumat yang cukup, seperti kos dan risiko yang terbabit sebelum mengambil keputusan untuk melabur.

“Ahli harus memahami tiada pelaburan yang sentiasa boleh menjamin pulangan pelaburan kerana prestasi dana pada hari kini bukan satu jaminan bahawa prestasinya akan berkekalan pada masa hadapan.” Katannya sambil menggesa ahli agar menggunakan pertimbangan sewajarnnya dan mendapatkan nasihat professional daripada penasihat pelaburan atau perancang kewangan yang bertauliah sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Menurut Badrul  Hisyam, IPD harus juga memastikan konsultan unit amanah, agen, kakitangan jualan mereka memberi nasihat professional, maklumat dan dokumen tawaran yang telus apabila memasarkan produk mereka. Sambil menekankan kepentingan dokumen prospektus, beliau berkata kanduangan dokumen ini mengandungi butiran terperinci berkenaan matlamat pelaburan, risiko  yang ada dan kos ataupun perbelanjaan pelaburan yang perlu ditanggung ahli.

KWSP juga menyediakan perkhidmatan nasihat persaraan untuk ahli di 7 cawangan KWSP di seluruh negara. Perkhidmatan ini adalah untuk memberi penerangan dan bimbingan kepada ahli untuk mengurus simpanan persaraan mereka dan pilihan yang ada untuk mengembangkan jumlah simpanan persaraan.

Namun, Badrul Hisham menekankan bahawa Skim Pelaburan Ahli ini adalah secara sukarela. Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan hanya memberi bimbingan dan bukan cadangan melabur dalam mana-mana dana atau mahupun IPD.

Sekiranya ahli tidak puas hati atau ingin membuat aduan, terdapat beberapa saluran untuk ahli mendapat pertolongan penyelesaian. Bagi aduan mengenai salah laku konsultan unit amanah, ahli boleh menyalurkan kepada FIMM, manakala bagi pertikaian tuntutan, ia boleh disalurkan kepada Securities Industry Dispute  Resolution Center (SIDREC)

Penambaikan Skim Pelaburan Ahli

Menurut Badrul Hisham, KWSP secara berterusan berusaha menambahbaik skim ini untuk kebaikan ahli dengan mengambil kira perubahan dan pembangunan industry unit amanah dan juga  kehendak ahli dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, berkuatkuasa 1 Ogos 2016, KWSP memansuhkan had 30% pendedahan pelaburan luar negara bagi dana-dana yang ditawarkan di bawah skim ini. Pemansuhan ini akan membolehkan ahli mempelbagaikan pelaburan menerusi dana-dana di luar daripada pasaran dalaman yang terhad dan penawaran dana yang pelbagai.

Bagi ahli yang memilih Simpanan Syariah, berkuatkuasa pada 1 Januari 2017, Badrul Hisham berkata satu mekanisma akan diwujudkan untuk memastikan bahawa ahli Simpanan Syariah hanya boleh melanggan dana yang patuh syariah sahaja di bawah skim ini.

Menurut  Badrul Hisyam, sehingga kini terdapat 334 dana yang diluluskan, namun begitu bagi tempoh 2016/2017, hanya 277 dana yang layak untuk ditawarkan di bawah SPA. Setakat Disember 2015, ada 934,246 akaun ahli yang menyertai skim ini, dengan nilai pasaran dana RM40.46 billion.

BH 30 November 2016




0 comments:

Post a Comment